Pengenalan

Politeknik Kuala Terengganu (PKT) yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Kota Kuala Terengganu (PKKT) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1999 dan beroperasi di bangunan Maktab Perguruan Pasir Panjang. Penubuhan PKKT adalah di bawah konsep kampus dalam kota. Selepas enam bulan beroperasi di Maktab Perguruan Pasir Panjang, tanggal 1 Julai 1999 PKKT berpindah ke tapak lama bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terenganu yang telah disewakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan beroperasi di tapak ini sehingga hari ini.

Pengambilan pertama adalah seramai 153 orang pelajar pada Jun 1999 bagi Sijil Kejuruteraan Awam. Mulai 2003, program Sijil Kejuruteraan Awam telah dijumudkan dan digantikan dengan Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Elektrik dan Elektronik. Pada pertengahan Mei 2004, selaras dengan penubuhan kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-11, Politeknik telah beroperasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Pada masa ini, Politeknik Kota Kuala Terengganu (PKKT) telah ditukarkan namanya kepada Politeknik Kuala Terengganu (PKT). Memandangkan ruang yang agak terhad di bangunan sedia ada, pada 1 Julai 2005 bangunan tambahan disewa bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Bangunan yang baru disewa dijadikan bilik kuliah bagi Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Pada tahun 2007, sebuah lagi bangunan tambahan disewa untuk kegunaan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Selari dengan perkembangan pendidikan, pada sesi pengajian Julai 2009, Program Sijil telah dinaiktarafkan kepada Diploma Teknologi Maklumat (Pengatucaraan) dan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Pada sesi Jun 2010, Diploma Elektrik dan Elektronik ditamatkan dan digantikan dengan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi).

Menyedari akan keperluan untuk meningkatkan peluang pembelajaran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada lepasan SPM, satu program baharu telah ditawarkan pada Sesi Jun 2014 iaitu Diploma Kejuruteraan Elektrik-Elektonik (DEE) dengan pengambilan pertama seramai 65 pelajar. Pada Sesi Jun 2015, program Diploma Teknologi Maklumat Rangkaian (DNS) ditawarkan dalam usaha untuk meningkatkan jumlah enrolmen pelajar dan seramai 30 pelajar telah mendaftar untuk kali pertama penawaran program ini.

Seiring dengan keperluan 10 lonjakan utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), pada sesi Jun 2016 Program Diploma Teknologi Maklumat Pengaturcaraan (DIP) telah dijenamakan semula serta dinaiktarafkan kepada Program Diploma Teknologi Digital (DDT).

Sehingga kini, Politeknik Kuala Terengganu menawarkan peluang pendidikan peringkat Diploma dan Pra Diploma kepada hampir 1000 pelajar melalui dua Jabatan Akademik dan dua Jabatan Sokongan Akademik iaitu:

a) Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE)
• Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi)
• Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik

b) Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK)
• Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital)

c) Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK)
• Pra Diploma Sains

d) Jabatan Pengajian Am

Kerajaan mensasarkan 1.5 juta pekerjaan baharu dengan pengisian 60% tenaga kerja berkaitan TVET, Politeknik telah diakui sebagai penyumbang utama dengan peratus kebolehpasaran keseluruhan yang tinggi melebihi 95% pada 2019 di mana kebolehpasaran PKT mencapai 100%. Berasaskan faktor ini, PKT selaku Politeknik ke-12 di Malaysia berazam untuk terus mengorak langkah meluaskan akses dengan pembangunan bangunan kekal kampus, menaiktaraf infrastruktur dan prasarana bagi meningkatkan persekitaran, kualiti pengajaran dan pembelajaran seterusnya melahirkan pelajar-pelajar politeknik yang berdaya saing dan menjadi pilihan industri.

qrcodepkt

  • Kemaskini pada : Tuesday 06 October 2020, 14:11:57.

 Paparan Terbaik

Firefox 7+ || Internet Explorer 9+ || Safari 5+ || Chrome dengan resolusi minimum 1280 X 1024.

Statistik Pengunjung

Hari Ini42
Semalam207
Minggu Ini1441
Bulan Ini4245
Jumlah342559